fbpx
Keadaan kereta dinaiki mangsa dan sebuah treler selepas bertembung di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang awal pagi tadi. Foto PDRM

Warga emas maut, kereta dipandu suami bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandu suaminya bertembung dengan sebuah treler yang sedang memotong di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Mek Dah Ibrahim, 69, yang duduk di kerusi penumpang belakang kereta jenis Proton Iriz meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu suami mangsa yang berusia 68 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Gua Musang. Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, sebuah treler dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai memotong sebuah lagi treler yang rosak di laluan sebelah kiri jalan.

“Semasa pemandu treler sedang memotong, kereta dinaiki mangsa bersama suami, anak dan seorang cucunya yang datang dari arah bertentangan bertembung dengan kenderaan tersebut.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta yang dinaiki empat sekeluarga itu terbabas ke kiri bahu jalan,” katanya.

Choon Foo berkata, pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Iriz dihantar ke Hospital Gua Musang, namun Mek Dah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI