fbpx
Rosmaini (kanan) ketika hadir ke mahkamah hari ini.

[VIDEO] Bekas suami Jahidah kekal bersalah, penjara 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin 47, sehingga koma, empat tahun lalu.

Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad menolak rayuan yang difailkan Rosmaini Abd Raof, 42, dan mengekal keputusan Mahkamah Sesyen 9 Disember tahun lalu.

Dalam prosiding sama, Atan Mustaffa turut menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan terhadap tempoh hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan. Dalam penghakimannya, beliau berkata, Hakim Mahkamah Sesyen dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan saksi pendakwaan 1 (SP1) adalah saksi yang dipercayai.

“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 yang diragui itu pula hanya dikemukakan selepas tertuduh (Rosmaini) dipanggil membela diri dan selama perbicaraan lebih dua tahun, versi baharu ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen (lokasi kejadian) dan tertuduh juga mengaku pada SP1 dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.

“Berdasarkan laporan perubatan juga menunjukkan mangsa cedera parah pada otak dan memerlukan pembedahan selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap polis,” katanya.

Atan Mustaffa yang menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan pula berkata, Mahkamah Tinggi tidak akan memberi campur tangan terhadap keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen berkenaan.

“Pendakwaan berhujah hukuman penjara selama 10 tahun adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan tahap kecederaan yang serius dialami mangsa.

“Walaupun mahkamah simpati pada mangsa yang kini dalam keadaan memerlukan penjagaan berterusan kesan perbuatan tertuduh, namun mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan tentang keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen itu,”katanya.

Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala peguam, Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Rosmaini.

Muhammad Nor kemudian memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan ia dibenarkan mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Terdahulu, pada 25 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan permohonan Rosmaini menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar dalam keputusannya berkata, mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi pandangan umum di media sosial.

Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya bersalah pada 9 Disember tahun lalu.

Dia dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin, 46, sehingga koma, empat tahun lalu.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya, itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira pukul 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI