BACHOK – Kes penemuan mayat yang terdampar di pesisir pantai-pantai di sini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini apabila empat mayat tanpa identiti ditemui penduduk setempat dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Penemuan mayat ‘misteri’ itu dilaporkan di Pantai Sri Telong dan Pantai Melawi pada Januari lalu, disusuli Pantai Kuala Kandis pada pertengahan bulan lalu dan kes terbaharu di Pantai Kemayang pada 19 Februari lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd. Saripudin Ishak berkata, dia percaya mayat-mayat yang ditemui terdampar di pantai Bachok adalah nelayan dan awak-awak warga asing dari negara jiran.
Menurutnya, tabiat nelayan asing yang gemar minum arak sampai mabuk ketika menangkap ikan menyebabkan mereka sering bergaduh sehingga sanggup berbunuhan sesama sendiri sebelum mayat dicampak di tengah laut.
Katanya, pengalaman selama lebih 30 tahun sebagai nelayan membuatkan dia sudah lali dengan perangai nelayan asing yang sering menceroboh perairan negara.
“Saya pernah dengar satu kes yang mana seorang tekong membunuh seorang awak-awak di atas bot selepas mereka bergaduh akibat perselisihan faham dan membuang mayat mangsa di tengah laut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mohd. Saripudin berkata, kebiasaannya di atas bot nelayan warga asing terdapat seorang atau dua wanita yang ditugaskan untuk memasak makanan harian kepada tekong dan awak-awak.
Ujarnya, nelayan asing selalunya turun ke laut sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu sebelum pulang ke darat.
“Penemuan mayat seorang wanita di Pantai Melawi dipercayai seorang tukang masak yang dicampak ke laut,” ujarnya.
Menurutnya, dia pernah menyelamatkan seorang nelayan asing yang dihumban ke laut selepas menghadapi masalah dengan tekong dan awak-awak lain kira-kira 15 tahun lalu.
Ketika mangsa diselamatkan, keadaan badannya amat kurus.
“Mangsa memberitahu, dia tidak diberi makan dan dilayan seperti hamba abdi apabila dikerah untuk bekerja tanpa henti selain ditipu oleh sindiket pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan apabila bekerja sebagai nelayan,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan jeti pangkalan Kuala Kemasin, Kori Awang, 61, berkata, dia pernah menemui mayat nelayan asing kira-kira tiga batu nautika dari perairan Kelantan kira-kira lima tahun lalu.
Katannya, keadaan mayat itu amat mengerikan apabila ditemui tanpa kedua-dua kaki di tengah laut.
“Mayat itu kemudiannya terdampar di Pantai Nipah di sini.
“Kami sebagai nelayan sudah tahu bahawa mayat yang ditemui itu adalah nelayan asing berdasarkan wajah serta badan mereka yang bertatu,” ujarnya.
Kori berkata, kebanyakan nelayan tempatan sering bertemu dengan nelayan asing di perairan Kelantan dan ia dapat dilihat melalui bot-bot pukat jerut atau tunda yang digunakan mereka.
Katanya, nelayan asing terbabit sering bertindak agresif jika nelayan lain datang ke lokasi sama untuk menangkap ikan atau sotong.
“Mereka pernah melepaskan tembakan amaran ke udara dan mengangkat penumbuk kepada nelayan tempatan jika didekati.
“Jika pukat nelayan tempatan hanyut ke bahagian sauh nelayan asing, mereka akan mengambil hasil tangkapan kami,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Qayyum Khairuddin, 35, pula bimbang kejadian penemuan mayat di Pantai Kemayang akan berulang lagi.
“Situasi ini memberi kesan buruk kerana pantai itu menjadi lokasi penduduk tempatan serta orang luar untuk bersantai pada waktu petang,” katanya.-K! ONLINE














