fbpx
SKUAD UPM berjaya menamatkan badi dua aksi final sebelum ini apabila muncul juara VSL 2025 menewaskan Politeknik B semalam.

UPM raih kejuaraan berganda VSL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD sepak takraw Universiti Putra Malaysia (UPM) menutup kempen Liga Varsiti Sepak Takraw (VSL) 2025 dengan penuh bergaya apabila menggondol dua kejuaraan menerusi acara regu dan beregu dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semalam.

Pasukan regu UPM terlebih dahulu menewaskan Politeknik B 2-1 sebelum skuad beregu melengkapkan kemenangan berganda selepas menundukkan UiTM dengan keputusan 2-0 sekali gus menamatkan penantian panjang apabila dua kali tewas di pentas final sebelum ini.

Tekong UPM, Najmi Syahfiq Anuar meluahkan rasa syukur selepas berjaya memecahkan badi kekalahan dalam penampilan terakhirnya bersama universiti tersebut.

“Alhamdulillah, bagi saya ini pencapaian terakhir saya untuk berbakti kepada UPM sebab saya pun sudah tamat pengajian. Saya gembira sangat sebab akhirnya kami dapat pecahkan badi di final setelah dua kali tewas sebelum ini,” katanya.

Najmi yang berasal dari Teluk Intan, Perak mengakui kemenangan kali ini lebih manis kerana pasukannya pernah beberapa kali kecundang kepada Politeknik sebelum ini, namun tampil lebih tenang dan tersusun di gelanggang kali ini.

“Bagi saya, regu kami bermain dengan cukup baik hari ini. Mereka memang berada dalam tekanan sebab dah banyak kali tewas kepada Politeknik, tetapi kali ini mereka bermain dengan tenang dan dapat menewaskan lawan,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih pasukan UPM, Ahmad Sufi Mohammed Hashim memuji semangat juang anak buahnya yang berjaya bangkit dalam situasi mencabar dan menganggap kejayaan kali ini sebagai lonjakan semangat menjelang Piala Tun Ali di Bukit Serindit, Melaka dari 3 hingga 9 November ini.

“Saya selalu ingatkan pemain supaya bertenang dan fikir satu-satu semasa dalam gelanggang. Bila mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi getir, saya yakin ini jadi moral yang baik untuk hadapi kejohanan lebih besar seperti Piala Tun Ali nanti,” katanya.

02

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI