BAU – Seorang pesara kerajaan maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan melanggar tiang lampu solar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd. Haide A. Rahman berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 7.25 malam di Jalan Bau-Lundu, berhampiran Hospital Bau.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lelaki berusia 61 tahun yang memandu seorang diri itu dalam perjalanan balik dari pasar Bau ke rumahnya di Kampung Stenggang.
“Semasa sedang bergerak di laluan lurus, tiba-tiba kenderaan mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu solar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haide berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














