MINGGU lalu ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Tony Fernandes membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan menutup semua akaun media sosial peribadinya iaitu Facebook, Threads dan Instagram.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A yang juga pengasas empayar syarikat penerbangan AirAsia itu ternyata begitu kecewa dengan perkembangan yang berlaku melibatkan platform media sosial utama yang disifatkannya sebagai penuh dengan penyebaran berita palsu dan penipuan.
Tentu sekali keputusan itu bukan suatu yang mudah dilakukan oleh beliau. Apatah lagi Tony sendiri mempunyai jutaan pengikut di media sosialnya. Platform yang digunakan untuk berhubung mengenai isu dan perkembangan semasa.
“Saya amat kecewa dengan berita palsu dan penipuan yang banyak berlaku di platform Meta. Saya sendiri menjadi mangsa pelbagai scam yang sebenarnya boleh dicegah dengan teknologi yang mereka ada,” katanya yang memiliki syarikat yang kini dianggarkan bernilai lebih RM12 bilion itu.
Tindakan itu jelas menunjukkan betapa berkuasanya platform-platform media sosial yang ada. Dalam erti kata lain, platform berkenaan bukan sekadar alat jaringan penghubung antara individu, kumpulan atau komuniti tetapi kilang membuat duit dan keuntungan.
Bagi tahun 2024 sahaja Facebook meraih keuntungan bersih RM260 bilion, ada laporan Instagram mampu memperoleh pendapatan iklan sekitar RM277 bilion.
Dalam keadaan mereka mengumpulkan keuntungan, platform ini gagal menangani pelbagai penipuan yang ada khususnya jenayah siber dan kewangan melibatkan ‘penyamun moden’ sehingga menyebabkan ribuan mangsa berdepan kerugian (kehilangan) wang berpuluh bilion ringgit.
Penyamun dan penyangak ini menggunakan tipu daya yang licik menawarkan pelaburan dengan keuntungan besar, pekerjaan mudah tetapi upah yang lumayan, bantuan kewangan tanpa syarat selain menawarkan ‘cinta’ palsu kepada insan-insan kesepian.
Mereka juga sentiasa menukar modus operandi mengikut perkembangan semasa menyebabkan ramai yang tamak dan tiada pengetahuan (malas membaca) terperangkap dan akhirnya wang simpanan hasil kerja keras bertahun-tahun lesap begitu sahaja. Mereka juga sering menggunakan gambar, nama, syarikat khususnya personaliti popular untuk meyakinkan bakal mangsa mereka.
Baru-baru ini, seorang pempengaruh menceritakan mengenai kisah seorang mangsa penipuan terperangkap hanya selepas menerima bekas botol air percuma yang dihantar ke alamatnya.
Sehari selepas itu dia menerima panggilan mengenai hadiah berkenaan yang merupakan satu penghargaan kepadanya.
Panggilan itu kemudian menawarkan pekerjaan mudah iaitu Like dan Share. Akhirnya dia ditawarkan ganjaran lebih besar jika menyertai pakej lebih tinggi dengan syarat meletakkan deposit atau modal.
Akhirnya selepas sedar terperdaya dan mahu menuntut semula modal, pihak berkenaan membuat pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan di luar kemampuan mangsa. Dia kemudian meminjam dengan empat orang along.
Pendek cerita, kerana satu bekas botol air, mangsa hangus wang RM20,000 (termasuk hutang along). Mudahnya kita ditipu kerana percayakan satu promosi, hebahan dan apa sahaja paparan di media sosial di alam maya. Ini cuma satu kisah daripada beribu-ribu kisah duka di alam nyata.














