KOTA TINGGI – Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran surau Ar-Rahman Kampung Sentisa, Batu Dua, Jalan Sedili Besar di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, turut cedera dalam kemalangan itu adalah enam lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan Proton Waja dan Perodua Alza pada pukul 1 petang tengah hari.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut adalah pemandu Proton Waja dan Perodua Alza.
“Setibanya Pasukan keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapti berlaku kemalangan jalan raya. Terdapat lima mangsa didalam kereta Perodua Waja iaitu dua lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak.
“Empat mangsa yang menaiki Proton Waja cedera, manakala lelaki berumur 70 tahun disahkan meninggal dunia.
“Di dalam Perodua Alza terdapat tiga mangsa iaitu lelaki dewasa, yang mana pemandu berumur 28 tahun disahkan meninggal dunia. Dua lagi mangsa cedera berumur 29 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan dan Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas serta membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal sehingga selesai,”katanya.-KOSMO! ONLINE














