fbpx
Anwar (sembilan dari kiri) bersama sebahagian daripada pemimpin utama dunia bergambar bersama di Kuala Lumpur semalam.

Kekuatan Malaysia jadi pengikat diplomasi blok ASEAN, global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi edisi 2025 telah mencipta satu penanda aras baharu dalam blok serantau apabila berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik bukan sahaja dalam kalangan anggota, sebalik­nya memperhebatkan jalinan kerjasama dengan kuasa besar global.

Dalam konteks ini, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang membuka tirainya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam menyaksikan kehadiran lebih 20 pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus menterjemah kekuatan Malaysia sebagai pengikat diplomasi global.

Selain Trump, jalinan kerjasama ASEAN dengan negara antarabangsa lain turut diperkukuh menerusi kehadiran Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Naib Perdana Menteri China, He Lifeng; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri Wanita Pertama Jepun, Sanae Takaichi.

Menerusi penganjuran sidang kemuncak ini, ASEAN bukan sahaja menjadi saksi kepada usaha pendamaian antara Thailand dan Kemboja dalam penyelesaian konflik di sempadan kedua-dua negara, sebaliknya turut menjadi penghubung kerjasama antara rantau Timur dan Barat.

Pengukuhan kerjasama itu dapat dilihat melalui penganjuran beberapa persidangan termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 selain Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-27 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 yang turut diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 semalam.

Pada masa sama, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut menyaksikan sejarah baharu kepada Timor-Leste apabila pe­nantian selama 14 tahun negara itu untuk menjadi ahli keluarga ASEAN ke-11 berjaya direalisasikan.

Penyertaan Timor-Leste dalam keluarga ASEAN bakal memberi makna baharu kepada Wawasan Komuniti ASEAN 2045, seterusnya berupaya mengukuhkan kerjasama dan ikatan serantau lebih strategik.

Sementara itu, ketika berucap menyampaikan ucap tama pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masa depan blok serantau dibentuk melalui tindakan masa kini, seterusnya memastikan pengukuhan berterusan dalam negara anggota.

Anwar berkata, Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan keseda­ran mengenai amanah besar yang perlu digalas termasuk memperbaharui hala tuju dan matlamat blok serantau berkenaan.

“Apabila Malaysia menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN, kami sedar bahawa bahawa tanggungjawab ini besar.

“Kepimpinan ini bukan sahaja sekadar rutin, tetapi satu pilihan untuk menentukan keutamaan, memperbaharui tujuan ASEAN dan mencari laluan sesuai yang seiring dengan harapan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, ASEAN juga disifatkan berdiri teguh dalam memastikan keutuhan kerjasama antara negara anggota meskipun terus berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan situasi politik global.

Dalam hal ini, Anwar berkata, kekuatan ASEAN bukan terletak pada elemen keseragaman, sebaliknya berpaksikan rasa hormat dan rasional yang menyatukan blok berkenaan.

“Tahun 2025 menuntut banyak perkara, dunia terasa tidak menentu, tertib lama semakin goyah, manakala tertib baharu masih belum terbentuk.

“Di pelbagai rantau, kita menyaksikan peningkatan persaingan dan ketidaktentuan. Ujian itu menggugat bukan sahaja ekonomi kita, tetapi keteguhan untuk berpegang kepada kerjasama selain percaya persefahaman dan dialog mampu mengatasi perpecahan zaman ini,” katanya.

Selain itu, peranan blok ASEAN memperkukuh kesejahteraan negara anggota termasuk melaksanakan usaha damai antara Thailand dan Kemboja juga disifatkan bukan satu kelemahan, sebaliknya merupakan langkah berani.

Anwar berkata, keikhlasan untuk memilih keamanan mampu membentuk semula masa depan lebih baik terhadap negara terlibat.

“Apabila Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur, dunia akan menyaksikan apa yang boleh dicapai oleh keyakinan tersebut.

“Ia mengingatkan kita bahawa pendamaian bukan satu kelemahan, tetapi satu keberanian,” katanya.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ itu diadakan bermula semalam hingga esok dan dilihat menjadi antara platform terbaik untuk mengukuhkan blok serantau selain menterjemahkan kekuatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI