SANTIAGO, Chile – Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Santiago 2025 hadir dengan pelbagai kejutan apabila tiga rekod dunia dalam acara satu kilometer (km) ujian masa wanita lebur sebanyak tiga kali dalam tempoh sehari.
Segalanya bermula dengan kayuhan mantap pelumba sensasi Jerman, Lea Sophie Friedrich yang membuka tirai dengan catatan masa satu minit 4.474 saat (s) untuk memadam rekod dunia sedia ada.
Namun, kegembiraan Friedrich tidak bertahan lama apabila pelumba Belanda, Hetty van de Wouw tampil dengan kayuhan luar biasa untuk mencatat masa 1:03.652s sekali gus meleburkan rekod dunia yang baru sahaja dicipta oleh Friedrich.
Lebih mengagumkan, kayuhan cemerlang Van de Wouw tidak berhenti di situ apabila pelumba berusia 27 tahun itu kembali ke trek dengan semangat luar biasa pada aksi final awal pagi semalam sebelum mencatat 1:03.121s dengan satu lagi rekod dunia baharu.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik pelumba Rusia, Yana Burlakova, manakala pelumba New Zealand, Ellesse Andrews meraih gangsa.
Kejayaan Van de Wouw di Santiago turut melengkapkan minggu gemilangnya apabila sebelum ini pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut menjuarai acara pecut wanita, menewaskan pelumba sensasi Jepun, Mina Sato di final.
Kemenangan itu menjadikannya pelumba wanita Belanda kedua menjuarai acara berprestij tersebut selepas Ingrid Haringa melakukannya pada tahun 1991.
“Sehingga hari ini saya masih sukar mempercayainya, terutama apabila dapat menjuarai acara pecut. Apabila saya menewaskan juara Olimpik, Ellesse Andrews di suku akhir, saya tahu saya berada di landasan tepat. Tapi untuk muncul juara dunia ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Dengan dua gelaran dunia dalam acara 1km ujian masa dan pecut wanita, Van de Wouw kini muncul sebagai simbol kebangkitan baharu arena berbasikal wanita Belanda di pentas dunia. – AGENSI














