SEBERANG PERAI – Suami kepada mangsa pembunuhan kejam di Kampung Sekolah Juru, Sabtu lalu dikatakan masih trauma mengenangkan insiden tragis yang berlaku terhadap isteri dan anak angkat mereka.
Perkara itu disahkan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga lelaki terbabit yang hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini, dikatakan sebagai penjamin individu berkenaan.
“Dia masih trauma lagi dan tak mahu bercakap,” katanya di sini, hari ini. Terdahulu, suami mangsa dibawa ke mahkamah berkenaan dalam keadaan sugul, mengenakan pakaian kemeja-T biru lembut dengan kedua-dua tangan bergari pada pukul 9.40 pagi tadi.
Pengawal keselamatan berusia 57 tahun dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM5,000 dan dua penjamin.
Dia dilihat keluar dari mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi tadi dengan menaiki kenderaan saudaranya.
Usaha pihak media untuk menemubual suami mangsa di luar pekarangan mahkamah gagal apabila lelaki terbabit dibawa ahli keluarganya menggunakan laluan lain, dengan menaiki kenderaan yang di parkir berdekatan pintu pagar utama bangunan berkenaan. -KOSMO! ONLINE














