fbpx
IRSAMUDDIN menyatakan, faktor utama isu tunggakan nafkah timbul apabila bekas suami tidak faham tentang kewajipan beri nafkah kepada anak-anak.

Dendam punca bekas suami culas bayar nafkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Dendam, konflik keluarga dan tidak memahami tanggungjawab dikenal pasti sebagai punca bekas suami culas membayar nafkah anak-anak selepas bercerai dengan pasangan masing-masing.

Menurut peguam syarie, Irsamuddin Ikhsan, faktor utama berkaitan isu tunggakan nafkah itu timbul apabila bekas suami atau bapa tidak memahami tentang kewajipan memberikan nafkah kepada anak-anak selepas berpisah dengan pasangan.

“Bekas suami ini tidak memahami sepenuhnya tentang tanggungjawab bapa yang wajib membayar nafkah anak-anak. Mereka beranggapan apabila sudah bercerai dan anak tinggal bersama ibu, maka si ibu kena tanggung atau (perbelanjaan) dibahagi dua.

“Anak sama-sama dapat, jadi sama-sama tanggung, namun hakikatnya dalam Islam bapa wajib menanggung nafkah anak sepenuhnya. Ibu pula adalah atas dasar tolong, ihsan dan sedekah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, terdapat kes di mana bekas suami enggan memberi nafkah kerana dendam terhadap bekas isteri.

“Ini sesuai dengan kata-kata bapa dan ibu bercerai, anak jadi mangsa. Bekas suami sengaja tidak mahu bayar (nafkah) sebab rasa marah terhadap bekas isteri. Mereka rasa puas apabila lihat bekas isteri terbeban dengan masalah kewangan, namun hakikatnya mereka menzalimi anak kandung sendiri,” ujarnya.

Menurut Irsamuddin, terdapat juga kes bekas suami tidak membayar nafkah kerana pe­ngaruh orang luar seperti isteri baharu dan keluarga. Faktor lain pula adalah disebabkan masalah kewangan.

“Sebagai contoh, bekas suami hanya mampu bayar RM1,000 sebulan, tetapi bekas isteri minta lebih daripada kemampuan mungkin RM2,000. Jadi pihak lelaki perlu menjelaskan kepada bekas isteri dan anak-anak supaya mereka faham tentang kedudukan kewangan yang mana pembayaran nafkah dibuat ikut
kemampuan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu tunggal yang bercerai supaya memfailkan tuntutan nafkah anak ketika dalam proses penceraian di Mahkamah Syariah.

“Kalau keadaan itu berlaku (culas), tunggakan boleh dituntut jika ada perintah mahkamah tentang nafkah anak. Jangan tunggu bertahun-tahun baru nak fail, itu kesilapan yang ramai lakukan,” katanya.

Jelasnya, tuntutan nafkah merupakan kes kedua paling ba­nyak dikendalikan beliau selepas perceraian, hak jagaan anak, harta sepencarian dan lain-lain.

Mengulas mengenai usaha kerajaan menyita simpanan kewangan bekas suami yang gagal membayar nafkah, beliau berkata, ia merupakan tindakan yang
wajar bagi memastikan hak anak-anak terbela.

“Ia sekali gus dapat membantu ibu tunggal supaya tidak terbeban untuk menanggung anak-anak secara bersendirian. Si bapa perlu faham nafkah bukan untuk bekas isteri tetapi anak,” katanya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat memaklumkan langkah menyita simpanan kewangan bekas suami yang culas membayar nafkah sedang diusahakan pihaknya.

Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN