fbpx
Gambar hiasan

Perlukah guru diberikan imuniti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Guru-guru kini berdepan tindakan saman di mahkamah daripada ibu bapa akibat perbuatan ke atas pelajar semata-mata untuk mendisiplinkan mereka.

Ketika ini, terdapat dua guru didakwa di mahkamah Pulau Pinang kerana merotan sehingga mendatangkan mencederakan ke atas seorang pelajar yang sama.

Kes mereka akan disebut semula bulan depan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pada 2017, seorang guru penolong kanan sebuah sekolah di Nilai, Negeri Sembilan, Azizan Manap didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri murid lelaki berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan guru itu daripada pertuduhan.

Bukan sahaja di negara kita, malah, kejadian guru melaksakan hukuman yang keras terhadap pelajar sehingga perbuatannya dilaporkan kepada polis turut berlaku di Indonesia.

Terdapat juga video yang memaparkan seorang guru tidak mahu menegur pelajar yang sedang tidur di dalam kelas kerana takut perbuatannya dilaporkan kepada polis turut menjadi tular di negara itu.

“Apa yang terjadi kalau guru tidak lagi mempunyai wibawa dan tidak dipercayai oleh murid-muridnya. Ini masalah besar,” kata salah seorang pemberita kanan, Hendry Ch. Bangun dalam diskusi mingguan Forum Wartawan Kebangsaan (FWK) di Jakarta pada Jumaat minggu lalu.

Justeru, bagaimanakah untuk menangani masalah guru disaman oleh ibu bapa kerana menegakkan disiplin?

Mungkinkah Malaysia boleh mencontohi Amerika Syarikat kerana guru-gurunya memiliki ‘Qualified Immunity’ atau imuniti terhad yang melindungi mereka daripada tindakan saman peribadi atas perbuatan mereka ketika menjalankan tugas selagi ia tidak melanggar hak perlembagaan yang jelas ditetapkan.

Namun, guru-guru tidak akan menerima imuniti itu jika tindakan mereka melibatkan keganasan fizikal, penderaan atau penghinaan keterlaluan terhadap pelajar dan pelanggaran hak yang sudah jelas ditetapkan dalam undang-undang.

Menurut seorang pakar undang-undang, Dr. Hariati Mansor, secara amnya, tidak ada kekebalan mutlak bagi sesuatu profesion daripada disaman atau didakwa di dalam mahkamah.

“Walau bagaimanapun, untuk imuniti kepada guru, ia perlu dilihat dari dua aspek iaitu menjaga hak kanak-kanak (pelajar) dari sebarang bentuk penderaan sama ada secara fizikal atau mental dan juga peranan guru dalam mendidik generasi muda.

“Apa yang perlu ditekankan adalah tidak melampaui tindakan munasabah. Dalam erti kata yang lain, guru perlu memastikan bahawa tindakan merotan tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar,” ujarnya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, tindakan yang dikira munasabah ialah guru perlu bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard, polisi dan kerangka yang diluluskan oleh pihak sekolah.

“Imuniti kepada guru pada pandangan saya boleh dipertimbagkan. Tetapi, ia mestilah bukan imuniti mutlak dan perlu ada rangka yang jelas agar tidak disalahgunakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN