KUALA LANGAT – Kerja-kerja membaik pulih empat buah sekolah yang menglami kerosakan teruk akibat ribut di Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang di sini dijangka menelan kos sebanyak RM10.1 juta.
Ini melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu diluluskan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kebanyakan kerosakan teruk melibatkan bumbung. Bagaimanapun hampir semua kawasan terjejas di SMK Sijangkang Jaya diserahkan kepada pihak sekolah untuk persediaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 2 November ini.
“Pelajar-pelajar yang terlibat SPM ataupun kawasan (peperiksaan) SPM dibenarkan untuk masuk dan isytihar selamat.
“Jadi, yang SK ini, kita dijangkakan hampir tiga bulan untuk siap. (Dalam tempoh itu) dilaksanakan pengajaran dalam talian,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan mendengar taklimat mengenai kerja-kerja baik pulih empat buah sekolah di Sijangkang, hari ini.
Menurut Amirudin, lebih 4,000 murid di tiga buah sekolah rendah akan terlibat dalam Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) itu. Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memulakan kerja-kerja pembersihan di lokaliti terlibat dengan kos RM1.9 juta.
“Ini tidak termasuk kerja-kerja pendawaian yang memerlukan tambahan kos selain sebahagian peralatan sekolah yang musnah akibat kejadian ribut itu kerana air masuk dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak berkata, kontraktor dan pembekal bertauliah akan dipanggil untuk mengemukakan cadangan kepada JKR esok.
“Kita memohon agar KPM meluluskan perolehan lantikan terus memandangkan kerja pembaikan perlu disegerakan demi keselamatan pelajar seterusnya dapat diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau KPM pada minggu ketiga Januari nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE