GOMBAK – Kes kematian seorang lelaki warga emas yang ditemukan dalam longkang di Bandar Country Homes, di sini semalam, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman mengenai penemuan mangsa kira-kira pukul 12.40 tengah hari, semalam.
“Siasatan mendapati, pada Ahad kira-kira pukul 1 petang, mangsa telah memaklumkan kepada adiknya bahawa dia mahu keluar beraya ke rumah seorang rakan.
“Namun, keesokan harinya sekitar pukul 9 pagi, adiknya gagal menghubunginya dan telah berusaha mencari di sekitar kawasan berkenaan tetapi tidak berjaya menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum dijumpai oleh orang awam.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Noor Ariffin turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Country Homes, ASP Murziana Qayyisa Angu di talian 012-5285499, atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun ditemui maut di dalam longkang di Taman Desa Country Homes, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada pukul 1.25 tengah hari. – KOSMO! ONLINE