SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung dakwaan motif pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, Sabtu lalu terutama melibatkan hubungan cinta tiga segi.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti si pelaku sebenar termasuk punca utama pembunuhan tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan bagi merungkai motif sebenar kejadian berlaku. Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya di sini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan dua suspek terdiri lelaki tempatan dan warga Bangladesh ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian tragis dua beranak, Sariya Che Hin, 51 dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim,11,
Difahamkan, kedua-duanya suspek berusia 45 dan 46 diberkas di lokasi berasingan susulan mereka dikatakan mengenali mangsa berusia 51 tahun itu. – KOSMO! ONLINE














