fbpx
Sebahagian penghuni tirai besi menyertai kelas kemahiran pemasangan sistem solar di Pusat TVET UniMAP di Arau, baru-baru ini.

20 banduan dapat ilmu sistem solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Sinar baharu menanti 20 banduan apabila dibekalkan de­ngan kemahiran pemasangan sistem solar hasil kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pengarah Penjara Perlis, Jorennedy Sylvester berkata, ia bertujuan memberi peluang kedua kepada penghuni tirai besi menimba ilmu industri hijau me­lalui program latihan kemahiran tenaga boleh baharu.

Katanya, kursus itu memberi fokus kepada kemahiran pemasangan sistem solar sebagai inisiatif TVET XCEL Prospek baru-baru ini.

“Seramai 20 penghuni terlibat dalam latihan intensif selama dua hari merangkumi teori dan amali pemasangan sistem solar.

“Pelaksanaan kursus tersebut bertujuan membentuk penghuni yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada sektor tenaga hijau selepas tamat hukuman,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Jorennedy, program tersebut turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan agensi kerajaan dalam bidang latihan vokasional moden.

Tambahnya, sebuah sistem panel solar berkapasiti tiga kilowatt berjaya dipasang prospek dan kini membekalkan tenaga kepada bengkel latihan elektrik di penjara berkenaan.

“Ini membuktikan penghuni penjara juga mempunyai potensi besar untuk digilap melalui latihan TVET yang berasaskan teknologi hijau,” katanya.

Ujar Jorennedy, inisiatif itu akan diteruskan meliputi bidang pendawaian elektrik, kimpalan arka, penyelenggaraan motosikal selain kursus kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan sepanjang Oktober dan November melibatkan 80 peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN