PERCUTIAN yang sepatutnya menjadi momen menenangkan bertukar sebagai pengalaman menyeramkan bagi wanita yang mahu dikenali sebagai Sofia.
Kejadian yang berlaku sedekad lalu di sebuah hotel popular di Singapura itu masih segar dalam ingatan wanita berusia 35 tahun tersebut.
Atas urusan kerja, Sofia menghabiskan masa selama tiga hari dua malam di hotel tersebut yang disangka akan menjadi detik bermakna kerana berpeluang mengembara ke negara orang.
Pada awalnya, Sofia tidak menemukan hal janggal kerana keadaan bilik yang terletak di aras 20 itu sangat kemas dan teratur.
“Sebaik saja masuk ke dalam bilik, saya terus kemas barang-barang, sebelum masuk ke bilik air untuk mandi. Dari dalam bilik air, saya terdengar seperti ada suara orang sedang bercakap di luar.
“Saya agak gementar, namun tetap memberanikan diri menjenguk ke bahagian luar. Saya melihat televisyen sedang menyala.
“Jadi, saya fikir mungkin suara itu datang dari televisyen, namun apabila difikir semula, saya tidak ada membuka televisyen atau menyentuh apa-apa barang elektrik kecuali penyaman udara,” katanya kepada CitaRasa.
Sofia tidak terlalu memikirkan hal itu kerana beranggapan televisyen di bilik hotel itu mungkin menyala secara automatik apabila ada penghuni.
Selesai mandi, Sofia keluar makan malam dan dia memilih untuk menutup langsir bilik kerana yakin akan pulang pada lewat malam.
“Saya yakin langsir bilik telah ditutup sebelum saya keluar, tetapi apabila pulang saya dapati langsir tersebut terbuka seperti kedudukan asal.
“Perkara itu memang mengganggu fikiran, tetapi saya tidak terlalu memikirkannya kerana berasa penat dan terus saja membersihkan diri untuk tidur.
“Baru saja hendak tidur, saya terganggu dengan bunyi pancuran air dalam bilik air. Saya fikir ada paip bocor, apabila diperiksa, semuanya baik-baik saja,” ujarnya.
Tanpa memikirkan sebarang hal aneh, Sofia menyambung semula tidurnya.
Keesokan harinya, sebaik bangun daripada tidur, Sofia dapati ada surat aduan dimasukkan ke bawah pintu biliknya oleh pihak hotel.
“Surat itu menyatakan bahawa bilik saya terlalu bising seperti sedang mengadakan pesta sehingga mengganggu penghuni bilik berhampiran.
“Disebabkan tersinggung dengan tuduhan itu, saya pergi bertanya kepada pihak hotel. Pihak hotel memaklumkan ada aduan daripada penghuni tingkat bawah yang mengadu bunyi hentakan dan jeritan kuat sehingga mereka tidak dapat tidur.
“Saya menafikan perkara itu kerana mustahil perkara tersebut berlaku. Lagipun saya pulang agak lewat malam dan tinggal bersendirian di dalam bilik,” ujarnya.
Kakitangan hotel kemudian memohon maaf atas kesalahan yang berlaku.
Pada hari itu, Sofia meneruskan aktiviti di luar hotel, sebelum pulang semula ke bilik pada sebelah malam.
Disebabkan itu adalah malam terakhir dia menginap di hotel mewah tersebut, Sofia mengambil keputusan untuk berehat seketika di atas katil sambil menonton filem kegemarannya, The Devil Wears Prada yang sedang ditayangkan di televisyen.
Sedang asyik menonton televisyen, tiba-tiba Sofia terdengar seperti bunyi derap kaki orang sedang berlari pantas di dalam biliknya.
Tidak lama kemudian, kelihatan satu lembaga hitam bermata merah berlari dari arah pintu biliknya terus ke tingkap.
“Pintu bilik dan tingkap berada pada kedudukan selari, jadi saya dapat melihat lembaga hitam itu sekilas lalu kerana sedang menonton televisyen.
“Saya rasa sangat gementar dan terus bersembunyi di dalam selimut sehingga tertidur.
“Keesokannya, saya terus kemas barang-barang untuk pulang tanah air. Saya tidak memaklumkan peristiwa aneh itu kepada sesiapa termasuk pihak pengurusan hotel,” katanya.
Walaupun berdepan dengan pengalaman seram, namun Sofia tetap mahu kembali ke negara itu untuk bercuti. Bagaimanapun, dia enggan menginap di hotel yang sama lagi.
















