PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.
Menerusi satu kenyataan, KPM berkata, garis panduan berkenaan larangan itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“KPM menyambut baik keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini yang menggariskan langkah-langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan termasuk usaha untuk
meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan.
“KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja dari ancaman siber,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, KPM berkata, mekanisme untuk pelaksanaannya akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Semua institusi pendidikan bawah KPM juga dituntut untuk memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan institusi dapat ditingkatkan.
“Kerjasama rentas Kementerian dan agensi adalah cerminan usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” kata KPM.-KOSMO! ONLINE