JAKARTA – Sebuah bas nyaris merempuh kereta api yang sedang bergerak laju selepas ia dipandu secara melulu dengan melintasi palang lintasan di tengah jalan, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Kota Probolinggo, wilayah Jawa Timur kelmarin.
Dalam sebuah video tular di media sosial, bas tersebut dilihat terkandas di antara dua palang lintasan kereta api yang telah ditutup sebelum pengangkutan awam itu melintas.
Pemandu bas dengan segera meminta pengawal lalu lintas agar membuka palang itu sebelum dia mengundurkan kenderaan tersebut.
Seorang saksi, Syaiful Bahri berkata, pemandu bas menekan minyak dan cuba melalui palang yang ketika itu sedang ditutup.
“Pemandu sudah tahu bahawa kereta api akan melintas, namun dia tetap menekan minyak. Mujur sempat mengundur sebelum kereta api melintas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Trafik Polis Kota Probolinggo, AKP Siswandi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan memanggil pemandu serta pemilik bas untuk disoal siasat. – AGENSI