DIKURNIAKAN wajah tampan dan berbadan tegap membuatkan Shah, 28, (bukan nama sebenar) sering ‘diburu’ oleh wanita mahupun lelaki lembut sejak usia remajanya.
Perkara tersebut menjadi ujian terbesar dalam hidupnya kerana dia sering ditawarkan dengan habuan lumayan termasuk kemewahan sehingga lelaki kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mampu menolak.
Dibesarkan dalam keluarga sederhana dan ingin hidup bergaya serta mewah seperti rakan-rakan lain sehingga membuatkan Shah rela menjadi ‘anak ikan’ kepada sesiapa sahaja yang melamarnya dengan tawaran lumayan.
“Kegiatan ini bermula ketika saya berusia sekitar 17 tahun yang mana ia dilakukan sekadar suka-suka dan ingin mengisi masa lapang.
“Kebanyakan mereka saya kenali menerusi Facebook dan seterusnya hubungan menjadi semakin intim,” katanya memulakan bicara.
Jelas Shah, tidak pernah terlintas difikirannya untuk menjadi ‘anak ikan’ tetapi tanpa sedar dia telah hanyut dalam dunia gelap itu.
Akuinya, hubungan tersebut terjalin hanya wang semata-mata dan tidak pernah ada rasa cinta.
“Kebanyakan yang cuba mendekati saya ialah lelaki lembut dan isteri orang.

“Kemungkinan rupa maskulin dan sikap saya yang penyayang memenuhi cita rasa mereka,” tutur pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Peristiwa yang tidak boleh dilupakan oleh Shah adalah apabila dia menjadi ‘anak ikan’ kepada isteri orang yang hamil dua bulan.
Pemuda itu mengenali wanita tersebut melalui laman Facebook dan mereka menjalin hubungan sekitar lima bulan.
“Di awal perkenalan, dia telah memberitahu bahawa dirinya sudah berkahwin dan sedang hamil anak sulung.
“Namun, kami tetap meneruskan hubungan ini dan saya pula suka melihat wajahnya yang cantik,” ujar pemuda itu berkongsi kisah yang berlaku sekitar lima tahun lalu.
Tambah Shah, wanita tersebut ketika itu berusia 26 tahun dan dia merupakan anak orang kaya begitu juga suaminya.
Walaupun dilimpahkan dengan kekayaan tetapi ibu muda itu kekurangan kasih sayang daripada suami yang melebihkan kerja sehingga dia menagih perhatian lelaki lain.
“Perhubungan kami diteruskan seperti biasa sehinggalah tiba-tiba pintu hati diketuk dengan rasa kesal dan bersalah.

“Saya membayangkan suatu hari nanti akan mempunyai isteri dan anak, saya tidak mahu mereka melakukan perkara serupa,” ulasnya sambil menekap kedua tapak tangan ke muka, menginsafi perbuatan tersebut.
Oleh itu, Shah tekad memutuskan hubungannya dengan wanita tersebut dan memulakan hidup baharu walaupun dirayu agar tidak ditinggalkan.
Kini, Shah bahagia di sisi isteri dan seorang cahaya mata berusia setahun.
Shah sempat menitipkan pesan kepada anak muda agar tidak terjerumus dengan tipu daya
kehidupan yang kelihatan sangat mempesona sehingga merosakkan masa hadapan.
Sebaliknya, guna usia muda itu dengan bijaksana dan berusaha mengejar cita-cita kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha.
Tegas Shah lagi, tidak ada jalan pintas untuk berjaya dan bahagia dalam hidup, semuanya memerlukan kerja keras tanpa mengenal putus asa.














