PETALING JAYA – Seorang netizen dalam media sosial mendakwa suaminya melihat ada makhluk yang bertenggek di bahu Amad sewaktu penyanyi cilik itu membuat persembahan di konsert Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) Ahad lalu.
Komen itu ditinggalkan netizen tersebut dalam hantaran yang dimuat naik ibu Amad iaitu Siti Sairah dalam Instagram.
“Suami saya hijab terbuka. Dia nampak masa Amad menyanyi ada makhluk bertenggek pada bahu Amad dan ada yang berpaut pada kaki Amad.
“Suara Amad tak serak dan tekak tak rosak. Tapi ada makhluk yang halang suara daripada keluar.
“Semoga orang yang hantar santau ini mendapat balasan. Kuatkan semangat Amad,” komen netizen yang menggunakan nama Nazurah Agus.
Komen tersebut telah dipinkan oleh Sairah dan mendapat perhatian ramai pengikutnya yang lain.
Ramai netizen yang berasa seram membaca komen Nazurah dan mendoakan agar Amad dijauhi sebarang kejadian yang tidak diingini.
Terdahulu, Amad yang merupakan finalis terakhir TTMM yang membuat persembahan di konsert Grand Finale tiba-tiba mengerang kesakitan di bahagian bahu sebelum membuat persembahan.
Dia kemudian dibawa keluar oleh pengurus pentas sebelum kembali semula untuk membuat persembahan.
Bagaimanapun, dia tidak dapat membuat persembahan dengan baik kerana masih bergelut dengan kesakitan dan masalah suara sehingga akhirnya pengsan selepas tamat persembahan.
Di penghujung rancangan, Amad yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal juara sekadar meraih tempat keenam. – KOSMO! ONLINE