fbpx
Amirudin ketika ditemui pemberita di Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Selangor pertimbang guna dana negeri beli vaksin influenza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti semula keperluan menyalurkan dana khas bagi memperluas pemberian vaksin influenza berikutan peningkatan kes jangkitan terutama dalam kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Selangor sebelum ini melaksanakan pemberian vaksin influenza secara percuma yang bermula Februari lalu kepada kumpulan berisiko khususnya warga emas dengan satu atau lebih penyakit kronik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkembangan semasa penyakit itu daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Jumaat ini.

“Saya akan membuat beberapa rujukan terhadap kes-kes terbaharu influenza dalam laporan Jumaat nanti.

“Apa pun, paksi kita bergantung kepada cadangan daripada JKNS” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Shah Alam Urban di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dana di bawah inisiatif Sihat Selangor bagi membantu pelaksanaan program vaksinasi influenza jika didapati perlu.

“Saya akan tengok balik kalau ada keperluan, kita boleh lihat kosnya dan sebagainya supaya anak-anak kita dilindungi vaksin influenza.

“Di bawah inisiatif Sihat Selangor, sebenarnya wang yang ada boleh digunakan untuk pembelian vaksin termasuk vaksin influenza,” katanya.

Tambah Amirudin, beliau akan mempertimbangkan kemungkinan menyediakan sokongan kewangan tambahan atau memperkenalkan dana baharu dalam Belanjawan Negeri akan datang bagi tujuan itu.

Beliau turut mengakui trend peningkatan kes influenza di Selangor bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan negeri itu mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN