KUALA LUMPUR – Malaysia terpaksa mengambil keputusan yang sukar menyokong pelan damai diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghentikan peperangan di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyokong pelan damai tersebut hanya pada saat terakhir, namun secara bersyarat.
Menurut beliau, sokongan bersyarat Malaysia selari dengan pendirian Hamas seperti yang dimaklumkan oleh kumpulan itu kepadanya melalui satu surat khas.
“Ini satu keputusan yang kita ambil secara sukar. Saat akhir kita bersetuju untuk mendokong inisiatif Presiden AS, tetapi kita adalah beberapa negara yang menyokong secara bersyarat.
“Kebanyakan negara memberi sokongan penuh,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan Malaysia terhadap pelan damai Palestin-Israel di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata, persetujuan dengan bersyarat itu termasuk mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara, menyelesaikan semua masalah termasuk Tebing Barat dan mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir.
Menurut beliau, sokongan diberikan kerana Malaysia seperti negara Islam lain mahu pembunuhan dan pengeboman terhadap rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak dihentikan segera.
Ujar beliau, sokongan Malaysia secara bersyarat terhadap pelan damai itu juga diberikan memandangkan keadaan di Gaza adalah tenat dan menghampiri kebuluran.
“Jadi atas pertimbangan itu kita menyatakan apa juga insiatif dan kebetulan Trump mengambil insiatif itu dan kita memberikan sokongan.
“Beberapa hari lalu kita lihat ada beberapa rundingan yang ditaja oleh Mesir, Qatar dan Jordan dengan kehadiran AS, Israel dan Hamas.
“Maknanya usaha untuk mencapai perdamaian segera itu didokong termasuk oleh Hamas,” katanya. – KOSMO! ONLINE