KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya, ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah terbabit sekitar pukul 9.30 pagi.
“Ia satu kejadian yang menyedihkan, pelajar perempuan itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Suspek telah ditahan, kes masih dalam siasatan, motif kejadian belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Anti Buli Polis Diraja Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pelajar maut akibat ditikam rakan dalam kejadian di sebuah sekolah di Bandar Utama di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE