PETALING JAYA – Seorang pelanggan kecewa apabila nasi yang dibelinya ‘disertakan’ dengan lauk ‘istimewa’ iaitu seekor pacat, sekali gus mengundang rasa geli dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian gambar dan video pengguna Thread @Inahempire memaparkan seekor pacat bergerak di dalam bekas makanan polisterina yang dibeli di sebuah premis.
Menerusi video sama, wanita itu dikatakan telah memakan hampir separuh nasi dan lauk tersebut selain terdapat sayur ulam-ulaman di dalam bekas sama.
“Allah, minta maaf terpaksa kongsi sebab kembang lagi tekak. Nasi nampak tak telan, nak hilang macam mana ni, bukan ulat sayur tapi pacat. Orang kata kalau masuk perut boleh membiak, betul ke?,” kongsinya dalam hantaran berkenaan.
Dia turut memuat naik hantaran terbaharu memaparkan wanita itu masih tidak boleh menelan nasi gara-gara insiden meloyakan tersebut.
“Disebabkan hal kemarin (kelmarin dialek Pantai Timur), masih tak boleh nak telan nasi walaupun masak sendiri. Mari teringat nasi yang beli. Sayur ulam ada pacat sebab makan dah nak habis, baru nampak.
“Terus fobia nak beli sayur pun (rasa) takut. Hilang nikmat makan, Allahu,” katanya.
Menerusi ruangan komen, orang ramai memaklumkan, kemungkinan pacat yang berada dalam bekas makanan polisterina tersebut datang daripada ulam-ulaman yang turut dibeli wanita itu.
“Sebab itu tak suka ambil ulam kat kedai makan. Kalau kat kenduri pun sama,” komen @Frhsyuhadaa_.
“Allahuakbar, berdiri bulu roma tengok pacat gerak macam tu. Macam manalah dia orang cuci sayur mesti ala kadar je ni,” komen @Izaismail1307.
“Saya pernah kena sekali, ingatkan cendawan. Rupa-rupanya lintah mati dalam makanan saya. Hampir nak makan, nasib baik saya periksa lagi sekali,” komen @Zed_aida. – KOSMO! ONLINE