SEBELUM wujudnya teknologi moden, pengawasan udara sama ada untuk pemantauan bencana alam, keselamatan sempadan, kesesakan lalu lintas, maritim atau penyelidikan dilakukan secara tradisional iaitu menggunakan kapal terbang ringan atau helikopter dikendalikan manusia.
Melibatkan kos bahan api yang tinggi, cara sebegitu turut mendedahkan risiko keselamatan kru sekiranya berlaku kegagalan pada pesawat mahupun perubahan cuaca ganas.
Perkara itu bagaimanapun dapat diatasi dengan kemajuan teknologi apabila dron tanpa pemandu telah mencetuskan revolusi sekali gus membuatkan proses pemantauan udara menjadi lebih mudah, selamat dan kurang berisiko.
Dron pengawasan berkuasa solar dilihat menjadi peralihan baharu bersesuaian dengan teknologi masa kini yang semakin mementingkan kelestarian dan kecekapan tenaga.
Menariknya, dron sedemikian yang diperkenalkan baru-baru ini bahkan mempunyai saiz sayap yang lebih panjang daripada pesawat jumbo Boeing 747.
Kerjasama antara syarikat pertahanan Perancis, Thales dengan Skydweller Aero dari Amerika Syarikat itu berjaya membangunkan dron berkuasa solar bersaiz gergasi yang mampu melakukan rondaan udara selama beberapa minggu hingga berbulan tanpa mendarat.
Dron yang dinamakan Skydweller itu direka dengan lebar sayap seumpama pesawat Boeing menjadikan ia antara kenderaan udara tanpa pemandu terbesar pernah dibina.
Panel solar berkuasa tinggi yang meliputi keseluruhan sayap untuk menjana tenaga elektrik secara berterusan, membolehkan dron berkenaan kekal di udara sepanjang hari tanpa memerlukan bahan api.
Mempunyai lebar sayap 72 meter melebihi lebar kebanyakan jet penumpang komersial, ia juga mempunyai berat kira-kira 2,500 kilogram iaitu bersamaan trak Ford F-150.

Kemampuan itu menawarkan alternatif hijau dan efisien kepada kenderaan udara rondaan konvensional sekali gus menjalankan misi pengawasan jangka panjang tanpa gangguan terutama di lautan yang luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Skydweller Aero Inc, Robert Miller berkata, membangunkan dron yang mampu terbang untuk jangka masa panjang membuktikan perkembangan teknologi industri aeroangkasa.
VISI Skydweller direka adalah untuk terbang selesa selama berbulan-bulan tanpa mendarat, menyediakan risikan, pengawasan dan komunikasi masa nyata di mana sahaja ia berada.
“Paling mengujakan apabila ia menggunakan sepenuhnya sumber tenaga semula jadi iaitu kuasa matahari,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Skydweller menggunakan teknologi solar yang diambil daripada pesawat Solar Impulse 2 selepas berjaya melakukan penerbangan menggunakan tenaga baharu pertama dunia pada tahun 2016.
Kemudian Skydweller Aero membeli dan menukar pesawat perintis itu dengan matlamat untuk membina dron gentian karbon berkuasa solar serupa yang mampu melakukan penerbangan kekal pada ketinggian melebihi 13 kilometer (km).
“Pesawat solar buatan Switzerland yang pernah mengelilingi dunia pada 2016 telah kami beli dan menukar menjadi versi yang lebih baik iaitu menjadikan ia sebagai pesawat berkuasa solar autonomi.
“Diperbuat daripada gentian karbon ringan (carbon fiber composite) yang mampu mencapai penerbangan kekal di altitud melebihi 13km memudahkan ia untuk membuat rondaan di kawasan perairan,” katanya menerusi laporan Breaking Defense.

Selain solar, Skydweller dilengkapi dengan penderia canggih buatan Thales bagi membolehkan dron berkenaan menghantar data secara masa nyata ke pusat kawalan darat.
Dikawal menggunakan sistem autonomi, Skydweller akan menghantar data melalui rangkaian komunikasi satelit dan radio dengan pusat kawasan darat.
Operator darat akan menetapkan laluan penerbangan, ketinggian dan tugasan pemantauan secara maya apabila imej dan maklumat diperoleh dapat dikumpul dan dihantar ke pusat secara masa nyata.
Pada 18 Jun lalu, jurucakap Thales Group mengesahkan dron berkenaan telah melakukan penerbangan ujian di luar Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS).
“Skydweller dron autonomi berkuasa solar yang dibangunkan bersama oleh Thales dan Skydweller Aero telah melakukan demonstrasi penerbangan di luar Pantai Teluk AS pada bulan Jun menunjukkan keupayaannya kekal di udara menggunakan tenaga solar.
“Sesi ujian dilakukan sekitar 18 jam tanpa henti bertujuan untuk menguji keberkesanan panel solar dalam menghasilkan tenaga berterusan sepanjang siang, menilai prestasi sistem bateri semasa penerbangan malam dan menguji kestabilan kawalan autonomi dan sistem komunikasi jarak jauh,” ujar jurucakapnya.
Dalam pemantauan maritim di kawasan lautan itu, dron Skydweller memantau dari udara kapal-kapal penyeludup dadah, lanun dan kapal laut perang.
Kebolehan Skydweller itu juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan terhadap ‘stesen minyak udara’ dan mengurangkan kos operasi.
Kemampuan itu juga dilihat membawa potensi besar untuk menyempurnakan misi kemanusiaan dan menyelamat, terutama di kawasan terpencil atau bencana serta boleh berfungsi sebagai menara komunikasi terapung di langit.
Jelas Naib Presiden Kanan Thales Group, Stephane Leduc, Skydweller tidak seperti dron konvensional yang perlu dikawal secara langsung kerana dilengkapi dengan sistem automatik.
“Skydweller mampu terbang dan menyesuaikan arah penerbangan secara automatik menggunakan sistem navigasi berasaskan GPS dan penderia cuaca.
“Ia boleh ‘berfikir’ sendiri untuk menstabilkan kedudukan, mengelak ribut dan menyesuaikan laluan mengikut keadaan angin atau tenaga solar.
“Dengan menggabungkan sistem misi Thales dan ketahanan tenaga solar Skydweller, kami telah merintis kategori baharu iaitu dron pesawat pengawasan berterusan yang mampu melakukan rondaan selama berminggu-minggu tanpa sebarang pelepasan karbon,” ujarnya kepada Defense News.
Kira-kira lebih 2,000 panel solar pada keluasan 270 meter persegi menutupi keseluruhan permukaan sayap dan ekor Skydweller yang mampu menjana tenaga sekitar 2 kilowatt (kW) secara berterusan dalam keadaan cuaca optimum.
Menggunakan bahan monokristalin, panel solar tersebut digunakan untuk satelit orbit rendah yang dianggarkan mampu menyimpan sekitar 70 hingga 120 kWh tenaga (bergantung pada konfigurasi misi).
Difahamkan selain ujian pada Jun lalu, Skydweller turut melakukan beberapa penerbangan sebagai ‘latihan’ sebelum bersedia masuk ke fasa pengeluaran dan tawaran kepada pelanggan antarabangsa, termasuk kerajaan dan agensi keselamatan.
Jika diterima secara meluas, Skydweller mungkin menjadi simbol baharu keupayaan teknologi tenaga bersih dalam bidang pertahanan dan keselamatan global.
Gabungan teknologi dengan sumber tenaga boleh diperbaharui menjadikan Skydweller sebagai lambang kehebatan kejuruteraan aeronautik sekali gus membuktikan masa depan penerbangan tidak lagi bergantung kepada bahan api, tetapi pada kuasa matahari dan kecemerlangan inovasi manusia.
Meskipun bentuknya menyerupai sebuah pesawat, namun Skydweller tetap dianggap sebagai dron kerana ia berfungsi secara autonomi dan dikendalikan secara jarak jauh.














