DALAM usaha membekalkan tenaga yang boleh dipercayai, cekap dan bersih, Worldwide Holdings Berhad (WHB) di bawah Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Korea Electric Power Corporation (KEPCO) baru-baru ini melancarkan Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) iaitu sebuah projek tenaga berimpak tinggi.
Loji berskala besar berasaskan gas asli mula beroperasi sepenuhnya pada awal September lalu itu mampu membekalkan tenaga kepada lebih 1.2 juta rumah, industri dan perniagaan, sekali gus menyokong lebih 40 peratus daripada kegunaan tenaga elektrik di Lembah Klang, sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Stesen janakuasa menggunakan 2 x 600MW Turbin Gas Kitaran Gabungan (Combined Cycle Gas Turbine atau CCGT) ini dibangunkan dan dimiliki oleh Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd.
Terdapat dua blok penjanaan turbin gas kitaran gabungan tunggal yang mana setiap blok mempunyai kapasiti nominal bersih 600MW.
Setiap blok merangkumi satu turbin gas dwibahan api, satu penjana stim pemulihan haba (Heat Recovery Steam Generator), satu turbin stim, satu penjana serta peralatan tambahan berkaitan.
Turbin gas General Electric kelas HA digunakan dengan sistem pembakaran pelepasan nitrogen oksida rendah.
Pengarah Eksekutif Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO) Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, PIPP dibina di atas kawasan tanah tebus guna seluas 60 ekar (24.28 hektar) bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang turut disokong oleh talian penghantaran elektrik baharu 500 kV dwilitar sepanjang 37 kilometer dengan Pencawang Masuk Utama (PMU) Olak Lempit.
Sementara saluran berasaskan gas asli sepanjang 42 kilometer menghubungkan Penyaluran Gas Utama (PGU) Puchong ke stesen janakuasa dengan kemampuan kapasiti 1,200MW yang disalurkan ke grid nasional.
“Projek ini adalah hasil daripada perancangan teliti, pelaksanaan kolaboratif dan kepakaran teknikal yang hebat sehingga membolehkan PIPP kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia membekalkan tenaga yang boleh dipercayai, cekap serta lebih bersih kepada grid Malaysia untuk beberapa dekad akan datang.

“PIPP menggunakan turbin GE 9HA.01 iaitu antara turbin paling cekap di dunia yang membantu menghasilkan lebih banyak tenaga dengan pelepasan (karbon) lebih rendah.
“Stesen janakuasa ini turut menyokong usaha Malaysia ke arah tenaga yang lebih bersih di bawah Pelan NETR,” katanya dalam ucapan perasmian PIPP baru-baru ini.
Majlis perasmian PIPP turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu Norazlina turut meluahkan rasa bangga apabila WHB menjadi syarikat GLC negeri pertama yang berjaya membangunkan projek Penjana Tenaga Bebas (IPP) dari permulaan hingga mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD).
“Kami mengendalikan operasi serta penyelenggaraan sepenuhnya dengan kepakaran sendiri membuktikan ini satu kejayaan keupayaan kami menyiapkan PIPP.
“Ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan teknikal dan bakat tempatan di Selangor, sekali gus memperkukuh asas negeri dalam bidang tenaga,” katanya.
Memberi fokus terhadap memenuhi kehendak negara, Ketua Pegawai Operasi Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd., Ir. Mohd. Shamsul Bahrin Hussain sedar wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung penggunaan gas asli terhadap stesen janakuasa tersebut.
Apatah lagi apabila mengenangkan insiden ngeri saluran gas meletup berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu.
“Paip gas khas kami sepanjang 42 kilometer dibina oleh Petronas Gas Berhad dan kami yakin bahawa mereka mengamalkan sistem keselamatan yang sangat ketat.
“Bagi kami di stesen, kita mempunyai banyak stesen pemantau gas yang akan menyekat saluran gas serta-merta sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Semua data melibatkan pengurusan stesen akan diperoleh di bilik kawalan yang akan akan diselia oleh 28 orang kakitangan (terbahagi kepada empat syif) dan terdapat tangki air sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Dalam pada itu sebagai langkah berjaga-jaga, terdapat juga tangki diesel di stesen janakuasa yang akan menggantikan gas asli sekiranya diperlukan.
Tenaga yang dihasilkan PIPP akan disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun.














