PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pengetua melakukan sesi rondaan di sekolah pada setiap pagi bagi mengenal pasti keadaan dan memberikan perhatian terhadap isu keselamatan murid.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan hari ini bagi memastikan Management by Working Around (MBWA) atau pengurusan melalui turun padang dilaksanakan.
“Sebab itu, pagi ini saya dah beri arahan kepada semua peringkat di bawah untuk memberikan perhatian antaranya buat MBWA supaya pengetua mesti menilai pagi-pagi tentang keadaan di sekolah mereka.
“Mesti kena buat ‘learning walk’, pergi kelas ke kelas (melihat) apa yang berlaku dalam bilik darjah. Dengan MBWA dan ‘learning walk’ ini pengetua dapat menganalisis tindakan yang perlu diambil segera,” katanya pada sidang akhbar khas di KPM di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun dalam tempoh singkat sebelum takwim persekolahan tamat, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada isu pengabaian berlaku.
Malah, katanya, KPM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengetua yang gagal untuk memastikan sekolah mereka berada dalam keadaan selamat khususnya pelajar dan murid. – KOSMO! ONLINE