JERANTUT – Kerajaan akan membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) pertama negara di Jerantut sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan nasional menghadapi ancaman bencana khususnya Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, PPBK di Jerantut itu akan menjadi model kepada pusat seumpamanya di seluruh negara, sekaligus mewujudkan sistem perlindungan rakyat yang lebih mampan.
Jelas beliau inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang Kerajaan Madani dalam memperkukuh daya tahan komuniti dan sistem pengurusan bencana negara secara menyeluruh.
“Peruntukan RM460 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi pengurusan bencana membuktikan kesungguhan kerajaan melindungi keselamatan rakyat berdepan perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang semakin kerap.
“Malaysia tidak kebal daripada bencana. Kejadian gempa bumi lemah di Segamat, Johor pada Ogos lalu serta banjir dan tanah runtuh di Sabah pada September lalu yang meragut nyawa membuktikan tahap risiko kita semakin tinggi,”katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat telah diaktifkan lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap terbaik.
Katanya, antara negeri berisiko tinggi ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah, terutama ketika berlakunya fenomena air pasang besar.-KOSMO! ONLINE