Langit malam di Universiti HELP, kampus Subang 2, Selangor baru-baru ini penuh bergemerlapan. Bunga api berdentuman di angkasa dan tanglung-tanglung bercahaya menyinari segenap ruang kampus.
Keriangan terpancar di wajah masyarakat Malaysia pelbagai kaum yang hadir bersama-sama menikmati malam yang spektakular bersempena perayaan Mid Autumn itu.
Begitulah suasana yang dapat dirasakan apabila The Malaysian Public Library Research and Development Centre (MPLRDC) bekerjasama dengan Universiti HELP menganjurkan Festival 1,000 Tanglung di universiti tersebut.
Malam kebudayaan, cahaya dan komuniti tersebut diisi dengan acara muzikal, aktiviti tradisional interaktif dan pembuatan tanglung yang penuh magis menyatukan pelajar, keluarga dan kejiranan dalam berkongsi ekspresi keriangan serta warisan.
Ini merupakan penganjuran kali ketiga MPLRDC yang terletak di kampus sama.
Bukan sekadar simbolik nama program, pihak penganjur secara literalnya turut berusaha menghasilkan lebih 1,000 tanglung untuk pesta tersebut yang berwarna-warni.
Festival itu turut mempersembahkan tarian naga, persembahan dram dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Klang; persembahan muzikal oleh Seafield School Band Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Subang Jaya, nyanyian lagu-lagu budaya, kaligrafi Cina, erhu, pertandingan meneka teka-teki tanglung dan reruai makanan pelbagai kaum.
Kemuncak acara apabila orang ramai turut melakukan perarakan bersama tanglung-tanglung di sekitar kampus.

di Universiti HELP Kampus Subang 2, Selangor.
Suasana muhibah tergambar apabila kelihatan pengunjung Melayu yang seronok bermain bersama tanglung, manakala persembahan yang dibawakan turut mengetengahkan lagu-lagu Melayu seperti Getaran Jiwa dan Sinaran. Satu dewan bersorak dan menyanyi bersama apabila seorang murid India sekolah mendendangkan lagu Sinaran.
Perayaan Mid-Autumn dengan sejarah lebih 1,000 tahun itu adalah salah satu daripada tradisi budaya Cina yang dinanti-nantikan. Ia merupakan detik pertemuan keluarga, kesyukuran dan refleksi diri.
Bulan yang bulat dan terang melambangkan keharmonian dan saling melengkapi, manakala berkongsi kuih bulan melambangkan kesatuan, tuah dan kebersamaan.
Festival yang berteraskan kisah legenda itu diturunkan dari satu ke satu generasi terus menebarkan insipirasi dalam kalangan tua dan muda.
Tanglung adalah salah satu simbol perayaan Mid-Autumn. Setiap tanglung melambangkan pengharapan dan kemesraan. Apabila dihimpunkan, ia mewujudkan pemandangan indah perpaduan dan cahaya. Penghasilan 1,000 tanglung membawa semangat itu bersama.

Sambutan tahun ini membawa bersama makna yang lebih istimewa, ia turut berkongsi kegembiraan bersama anak-anak kurang bernasib baik dari sekitar Selangor seperti BRDB-Rotary Children’s Residence, Rumah Kasih
Harmoni Paya Jaras dan Al-Aliyah International School (AIS). Penyertaan mereka merefleksikan tujuan yang lebih mendalam iaitu berkongsi cahaya bersama mereka yang paling memerlukan. Ada juga tanglung yang dijual untuk disalurkan ke rumah kanak–kanak ini.
Pengerusi MPLRDC, Datin Chan Kam Yoke berkata, Festival 1,000 Tanglung ini lebih daripada sekadar sambutan.
“Ia merupakan refleksi bagi semangat komuniti kita, seperti mana setiap tanglung yang bercahaya dan bila bergabung bersama mencipta sesuatu yang begitu spektakular.
“Malam ini, kita meraikan bukan hanya budaya dan tradisi, tetapi juga perpaduan, keriangan dan kepentingan untuk bersama satu sama lain. Festival bersinar paling terang apabila melibatkan semua insan,” katanya.
Program juga melibatkan penyertaan para pelajar Universiti HELP yang mengemudi acara-acara. Seorang pelajar Diploma Pendidikan, Ai Goik, 27, berkata, dia terlibat menjayakan segmen teka-teki tanglung.
“Ia menghidupkan kembali tradisi lama suatu ketika dahulu apabila di bawah tanglung ada teka-teki dan sesiapa dapat menekanya, maka dihadiahkan tanglung itu.
“Program sebegini bagus untuk meraikan budaya bersama-sama,” katanya.
Seorang penduduk kawasan setempat, Muhammad Aliff Izzat 27, dari Pangsapuri Damai datang bersama isteri dan seorang anak mereka.
“Apabila pihak penganjur menjemput penduduk sekitar, kami tidak melepaskan peluang untuk pergi bagi melihat sambutan budaya Cina. Kami juga dapat bermain dengan tanglung.
“Bagi saya program sebegini memang bagus, sesuai juga bawa anak. Kita dapat didedahkan dengan budaya kaum lain dan menyemai rasa kekitaan di Malaysia,” ujarnya.














