LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar generasi muda negeri ini terus memikul tanggungjawab memelihara khazanah alam sekitar dan warisan negeri sebagai amanah kepada generasi akan datang.
Baginda bertitah, lebih separuh kawasan negeri ini masih diliputi hutan dara yang menjadi khazanah berharga bukan sahaja untuk rakyat Pahang, tetapi juga negara.
“Sebahagian besar taman negara adalah (terletak) di dalam Negeri Pahang. Untuk maklumat, Negeri Pahang mempunyai lebih kurang dua juta hektar kawasan hutan yang masih lagi macam anak dara, tidak boleh disentuh oleh mana-mana pertubuhan ataupun syarikat.
“Kita akan terus memegang amanah itu untuk memelihara hutan yang kita ada di Negeri Pahang ini,” titah baginda pada Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) sempena Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pahang di Dataran Orang Kaya Haji di sini, hari ini.
Baginda turut bertitah mengingatkan tentang kepentingan menjaga sungai-sungai utama di negeri ini seperti Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan Sungai Endau supaya tidak tercemar atau bertoksik.
“Kita juga harus memelihara sungai-sungai kita (kerana) mungkin sungai-sungai ini ada yang bertoksik, kotor dan sebagainya.
“Saya harap bukan hanya sekadar program untuk memanjat bukit, tetapi juga membuat program kesedaran di sungai-sungai ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE