KOTA TINGGI – Hasrat seorang pemuda untuk membelikan barangan keperluan umrah ibunya tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas yang turut meragut nyawa dua rakannya di Kilometer 56, Lebuh Raya Senai-Desaru di sini semalam.
Maryani Mohd Zaini, 50, berkata, anaknya, Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20, yang bekerja di Rapid Pengerang sepatutnya bertolak pulang ke Puncak Alam, Selangor pada esok atau Selasa.
Katanya, dia yang akan berangkat ke Tanah Suci pada Rabu ini memang menantikan kepulangan anak bongsunya itu sebelum menerima berita mengenai nahas tersebut pada pukul 5 petang daripada majikan Fazrizal.
“Saya difahamkan ketika kejadian, dia dalam perjalanan keluar dengan kawan-kawan. Kali terakhir kami berhubung dua malam lalu, dia beritahu sudah ambil cuti nak mahu pulang ke Puncak Alam pada Isnin atau Selasa ini sebab Rabu saya nak pergi umrah.
“Jadi dia mahu membelikan barangan kelengkapan. Dia cakap ibu tunggu Boy, kita beli barang sama-sama. Itulah kali terakhir kami berbual,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah kenderaan dipercayai membawa rokok seludup terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, nahas berlaku apabila Toyota Fortuner dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Volkswagen Golf yang dinaiki mangsa. Sebuah Honda CR-V yang berada di hadapan Volkswagen Golf dikatakan sempat mengelak.
Kesemua mangsa sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum terbakar. Pemandu dan seorang penumpang Golf maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Seorang lagi penumpang kenderaan sama sedang dirawat di hospital sama. Pemandu Fortuner turut cedera parah. – KOSMO! ONLINE