SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) optimis Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram baharu yang bakal beroperasi dapat memudahkan akses pendidikan bagi penduduk setempat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha pembinaan sekolah berkenaan telah diperjuangkan sekian lama bagi memastikan pelajar di kawasan penempatan baharu itu mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.
“Pembinaan sekolah ini juga sebahagian daripada usaha kita menjayakan lokasi pendidikan yang selamat dan kondusif.
“Inilah hasilnya apabila kita mempunyai kerajaan yang kuat, stabil dan sentiasa mengutamakan rakyat dan rakyat dapat memanfaatkannya.
“Semoga sekolah ini akan terus maju, cemerlang apatah lagi dengan keadaan sekolah dan fasiliti yang cukup baik dan kondusif. Kita mengharapkan pendaftaran pelajar di sekolah ini turut akan meningkat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE