GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah dipalu menandakan bermulanya ‘perang’ politik untuk mencari sebuah kekuasaan selama lima tahun mendatang.
Di kubu setiap parti-parti bertanding, strategi dan percaturan mula dibentuk dengan langkah awal iaitu mengenal pasti calon boleh menang dan disukai rakyat.
Setakat ini, tiga gabungan utama – Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selain parti tunggal seperti Warisan dan KDM berada di hadapan dari segi percaturan.
Namun, kejutan parti STAR dan SAPP yang keluar daripada GRS menjadikan perebutan kerusi untuk PRN ke-17 kali ini bertambah menarik.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 12 parti termasuk kumpulan individu tanpa parti atau Bebas bakal mencuba nasib bagi merebut 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Persoalan kini, siapa lebih layak memerintah Sabah kerana PRN kali ini bukan sekadar pertembungan logo atau warna bendera, tetapi lebih daripada itu adalah berkisar tentang masa depan hampir 3.5 juta rakyat Sabah.
Realitinya, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu kepimpinan yang bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga mampu menunaikan janji dalam realiti.
Malah, sejak beberapa dekad lalu, Sabah telah menjadi pentas pertukaran kuasa yang paling kerap di Malaysia. Parti datang dan pergi, gabungan berganti wajah, namun kehidupan rakyat di pedalaman masih sama – jalan berlubang, sekolah usang, dan harga barang yang terus mencekik.
Parti yang layak memerintah Sabah mesti bermula dengan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, segala dasar dan pelan pembangunan hanya akan tinggal di atas kertas.
Sabah tidak perlukan lagi parti yang hanya berjuang demi kedudukan, tetapi parti yang benar-benar mahu mengangkat martabat negeri ini dengan tindakan, bukan ucapan dan janji-janji kosong.
Lagipun, asas perjuangan rakyat Sabah sejak sekian lama adalah berkisar soal ekonomi dan pembangunan.
Apa guna segala kekayaan sumber semula jadi yang ada, tetapi majoriti rakyat masih bergelut mencari makan.
Apa guna bercakap soal teknologi dan kecerdasan buatan (AI), tetapi bekalan air dan elektrik serta liputan internet tidak pernah stabil.
Ini belum mengambil kira soal tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terus diperdebat.
Hakikatnya, perjuangan membangunkan Sabah bukan kerja mudah, namun bakal Yang Berhormat sebenarnya boleh memudahkan tujuan itu dengan syarat – bersikap amanah, kerja dengan jujur dan jadi individu profesional.
Di akhirnya, rakyat Sabah perlu menilai bukan siapa yang paling pandai berjanji, tetapi siapa yang paling konsisten bekerja untuk rakyat.














