TELUK INTAN – Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun sejak Jun lalu.
Tertuduh berusia 48 tahun membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Lelaki itu didakwa merogol mangsa di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin di sebuah rumah di Langkap pada 21 Jun hingga 25 September lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak lebih 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol tidak mencadangkan jaminan kerana mangsa merupakan anak kandung tertuduh, namun sekiranya dibenarkan jumlah ikat jamin yang ditawarkan adalah RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Anisah turut memohon agar penjamin bukan pengadu selain syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Peguam Aliff Aiman Rusli memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh yang memiliki dua anak itu tidak bekerja dan ditanggung adik perempuan.
Mahkamah membenarkan lelaki itu dikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Disember ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki ditahan pada 28 September lalu selepas dipercayai merogol anaknya di sebuah rumah di Langkap. – KOSMO! ONLINE














