PETALING JAYA – MoneyX, sebuah platform penyelesaian perniagaan berkuasa kecerdasan buatan (AI) terkemuka, telah melancarkan Net7, CRM Pintar yang pertama seumpamanya dibangunkan di negara ini.
Net7 telah dibina berasaskan kecerdasan kad perniagaan dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya kepada perusahaan di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies Solutions Berhad (Hextar), Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, Net7 berbeza dengan aplikasi kenalan tradisional yang hanya menyimpan nombor telefon dan alamat e-mel tapi ia telah mengubah data kenalan sedia ada menjadi profil perniagaan bermakna yang boleh dicari serta-merta, dikategorikan secara pintar dan diperkaya dengan pandangan berasaskan AI.
Menurut beliau, sama ada mengimbas timbunan kad perniagaan atau mendapatkan semula kenalan penting daripada bertahun-tahun lalu, Net7 memastikan tiada hubungan yang akan terputus.
“Pertumbuhan perniagaan berlaku apabila hubungan dijalin dan dipupuk, bukan sekadar dikumpulkan. Sehubungan itu, Net7 direka untuk membantu profesional dan perusahaan mengurus, membina serta memperkukuh rangkaian mereka.

“Daripada usahawan hinggalah kepada pasukan jualan berskala besar, platform ini memastikan setiap hubungan perniagaan menjadi aset rangkaian korporat yang selamat dan dimiliki syarikat,”katanya dalam kenyataan hari ini.
MoneyX dibangunkan bersama Mandrill Tech Sdn Bhd (Mandrill Tech), peneraju AI/ML Malaysia dengan lebih daripada 150 pakar dan Hextar adalah syarikat induk MoneyX.
Eddie menerangkan, Net7 dibangunkan untuk disesuakan oleh perusahaan dalam sektor perbankan, insurans, runcit dan lain-lain serta ia direka dengan keselamatan kukuh dan kebolehskalaan global.
“Ia berintegrasi dengan lancar bersama platform CRM utama, menyokong piawaian ISO 27001, mematuhi PDPA, dan mempromosikan rangkaian digital yang lestari dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kad nama bercetak.
“Net7 membawa maksud jaringan tanpa sempadan di tujuh benua. Dengan menggabungkan inovasi AI dan kecerdasan CRM, kami mentakrifkan semula cara perniagaan mengubah kad nama ringkas menjadi hubungan berkekalan dan peluang sebenar,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mandrill Tech, Davent Low menerangkan, bertitik tolak daripada kejayaan aplikasi Net7, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran Net7 Enterprise yang dijadualkan hujung tahun ini.
“Versi ini memanfaatkan kecerdasan data lanjutan untuk menyediakan pelanggan dengan pandangan terkini mengenai rangkaian sedia ada mereka.
“Lebih penting lagi, ia menggunakan AI untuk menganalisis perkembangan terkini, mencadangkan peluang jualan tambahan, dan menambah nilai kepada rangkaian mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, secara tradisional, kad perniagaan hanyalah maklumat statik kerana ia tidak memberitahu kita berita korporat terkini atau sektor perniagaan yang mereka ceburi.
“Pengguna kini akan sentiasa dimaklumkan kerana aplikasi ini sentiasa mengemas kini profil rangkaian apabila kenalan berpindah ke peranan atau syarikat baharu manakala gabungan ciri-ciri ini menjadikan pengurusan hubungan profesional lebih pintar, mudah dan berkesan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE