KUALA LUMPUR – Sebanyak 246 kes ‘union busting’ (majikan menindas hak kesatuan sekerja) diadukan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) sehingga 31 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah aduan tersebut adalah yang diterima oleh JPPM sejak tahun 2015.
“Sebanyak 158 aduan berjaya diselesaikan di peringkat JPPM secara rundingan damai dan 24 aduan masih dalam tindakan jabatan.
“Manakala 64 aduan telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk pendengaran kes,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung jumlah aduan ‘union busting’ dan siasatan terhadap dua syarikat iaitu Flextronics Penang dan XSD International Paper.
Abdul Rahman berkata, JPPM sedang melaksanakan rundingan damai dan inkuiri aduan ‘union busting’ melibatkan Flextronics Penang dan XSD International Paper di bawah Seksyen 8(2) Akta Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177]
Menurut beliau, akta itu memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah JPPM untuk mengambil langkah-langkah perlu atau membuat inkuiri yang wajar untuk menyelesaikan aduan berhubung amalan ‘union busting’
Ujar beliau, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui JPPM sentiasa komited memastikan hak dan kebebasan pekerja untuk menubuh serta menyertai kesatuan sekerja dilindungi sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE