SINTOK – Seramai 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji permulaan sebanyak RM4,200 sebulan sebelum mereka naik ke pentas konvokesyen universiti itu pada bulan depan.
Kesemua mereka merupakan peserta program Elite Management Trainee (EMT) hasil kerjasama strategik antara UUM menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dengan PKT Logistics Group Sdn. Bhd.
Program tersebut berlangsung selama hampir setahun melalui proses pemilihan dan latihan industri yang intensif.
Hanya 18 pelajar terbaik daripada Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian dipilih selepas melalui ujian serta temu duga bersama pihak PKT.
Menurut pelajar, Nurhanis Azman, 23, program itu memberikan pengalaman yang hebat, sekali gus mengubah cara dia melihat dunia pekerjaan.
“Ia sangat mencabar tetapi berharga kerana membuka mata kami kepada realiti sebenar industri logistik,” katanya selepas Majlis Graduasi Program EMT di Pusat Islam UUM, di sini.
Seorang lagi pelajar, Ooi Jun Wei, 23, berkata, pengalaman bekerja dalam pasukan pelbagai budaya menjadikannya lebih yakin dan bersedia menyumbang idea baharu.
“Saya belajar bagaimana disiplin dan kepimpinan menjadi tunjang kejayaan organisasi besar. Kini saya lebih faham tanggungjawab sebagai pengurus masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, semua pelajar terbabit menjalani beberapa peringkat latihan antaranya latihan industri semasa cuti semester di cawangan PKT di Batu Kawan, Pulau Pinang dan seluruh negara serta latihan praktikum sepenuh masa pada semester akhir.
Katanya, pelajar juga menjalani pertukaran jabatan selama tiga peringkat bagi melengkapkan kefahaman menyeluruh terhadap operasi logistik sebenar.
“Garis masa program yang tersusun rapi bermula Januari 2024 hingga Ogos 2025 telah mempersiapkan mereka bukan sahaja sebagai graduan, malah sebagai bakal eksekutif pengurusan dalam industri logistik moden,” katanya.
Tambahnya, kejayaan 18 pelajar itu amat membanggakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Datuk Seri Dr. Michael Tio berpuas hati dengan prestasi mereka lalu menaikkan gaji permulaan daripada RM4,000 kepada RM4,200 sebulan. – KOSMO! ONLINE