fbpx
TANGKAP layar pekerja di HTAA menyedut air bertakung di atas lantai.

Air melalui celahan bumbung akibat hujan lebat punca kebocoran HTAA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kebocoran air melalui siling di ruang menunggu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semalam dikenal pasti berpunca daripada kebocoran air melalui celahan bumbung akibat hujan lebat dan angin kencang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kebocoran juga didapati berpunca daripada kuantiti ‘rainwater downpipe’ yang tidak dapat menampung jumlah air terlalu banyak, terutamanya apabila berlaku hujan lebat secara berterusan.

“Untuk tindakan awal pada malam tadi syarikat konsesi HTAA telah menggunakan tampalan ‘flashing tape’ untuk menutup celahan bumbung yang berpotensi dimasuki air.

“Semakan dan pembaikan lanjut terhadap bumbung dan ‘rainwater downpipe’ akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian kebocoran bumbung tidak berulang,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya pada masa yang sama, semakan keseluruhan terhadap keselamatan pendawaian elektrik dilaksanakan bagi memastikan fasiliti berkenaan selamat.

Hari ini Kosmo! Online melaporkan dua klip video memaparkan keadaan siling yang bocor teruk di ruang menunggu pesakit HTAA di sini tular sejak malam semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terhadap keselamatan dan tahap penyelenggaraan fasiliti kesihatan berkenaan.

Video masing-masing berdurasi 31 saat dan 44 saat itu dimuat naik di Facebook kira-kira pukul 8 malam menunjukkan air mengalir deras daripada siling berhampiran lampu kalimantang di ruang menunggu pesakit menyebabkan lantai digenangi air.

Dalam video kedua yang dimuat naik di ruangan komen pula menunjukkan pekerja sedang menyedut air yang bertakung di atas lantai menggunakan mesin penyedut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI