ATHENS – Aktivis Sweden, Greta Thunberg tiba di ibu kota Greece, Athens, selepas diusir dari Israel bersama-sama 170 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang lain, lapor akhbar The Independent semalam.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos, Greta yang ditemui media berkata, terdapat pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di depan mata dunia.
“Tiada siapa boleh mengatakan bahawa kita (komuniti antarabangsa) tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Pada masa akan datang, tiada siapa boleh mengatakan bahawa kita tidak tahu ia (genosid) telah berlaku,” katanya.
Tambah Greta, 22, di bawah undang-undang antarabangsa, negara-negara dunia mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untuk mencegah dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai daripada berlaku.
“Ini bermaksud kita perlu menamatkan persekongkolan, mengenakan tekanan dan berhenti membekalkan senjata.
“Namun, semua ini tidak berlaku. Kita tidak melihat walau sedikit pun (pejam mata) ia dilakukan oleh negara-negara kita,” katanya.
Sebilangan aktivis yang pulang ke tanah air memberitahu bahawa mereka didera dan menerima layanan buruk oleh pengawal-pengawal Israel. – AGENSI