KUALA SELANGOR –Laporan maklumat pertama (FIR) yang dijadikan asas siasatan kes pemilikan pistol seorang wanita yang terbabit membekalkan senjata kepada lelaki Israel dicabar di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Peguam Datuk Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim yang mewakili tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 42,
membuat pertikaian tersebut selepas mendakwa ia tidak lengkap pada pemeriksaan balas terhadap saksi pertama pendakwaan iaitu anggota Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, Koperal Abdul Hadi Mohamed, 39.
Ini termasuk tanpa butiran lanjut seperti jenis pistol, butir peluru, lokasi tepat pistol dijumpai serta tempoh masa pistol ditemui dan penerimaan laporan tersebut.
Hari ini merupakan prosiding hari pertama perbicaraan melibatkan Sharifah Faraha di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mohd. Radzuan: Setuju dengan saya dalam laporan ini hanya menyebut menjumpai satu objek menyerupai sepucuk pistol. Itu sahaja.
Abdul Hadi: Ya, saya setuju
Mohd. Radzuan: Koperal tidak tahu apa jenis pistol dan dalam pistol itu ada peluru atau tidak?
Abdul hadi: Tidak tahu. Hanya menyerupai sahaja.
Mohd. Radzuan : Setuju dengan saya, laporan itu tidak lengkap
Abdul Hadi: Setuju
Mohd. Radzuan : Selain itu, saya katakan masa juga bercanggah dengan masa asal dibuat pegawai menangkap bahawa pistol dijumpai pukul 7.15 malam? Iaitu lebih sejam daripada laporan diterima pukul 9.10 malam pada 29 Mac 2024. Ada perbezaan (masa) di situ.
Abdul Hadi: Saya tidak pasti. Saya berpandukan maklumat laporan
Mohd. Radzuan : Setuju dengan saya laporan itu bukan FIR tetapi laporan perjumpaan barang kes
Abdul Hadi: Tidak setuju
Anggota polis yang telah berkhidmat selama 16 tahun itu kemudiannya menegaskan ia sebagai laporan atau maklumat pertama berdasarkan pemahamannya ketika disoal balas semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak.
Sharifah Faraha didakwa atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam, 29 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding perbicaraan disambung esok. – KOSMO! ONLINE