fbpx
Kean Beng (kemeja biru) dan Teik Hwa diiringi polis ketika hadir di Mahkamah Majistret George Town, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO! ONLINE

Dua guru tidak mengaku rotan pelajar hingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di daerah ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merotan seorang pelajar sehingga cedera.

Tertuduh, Lau Teik Hwa, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

Mengikut pertuduhan, Teik Hwa yang masih bertugas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan rotan di Bilik Disiplin SMJK di daerah Timur Laut pada pukul 4 petang, 2 Ogos 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad mencadangkan ikat jamin RM4,000, namun peguam Koay Ee Teng merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

“Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia 11, 15 dan 18 tahun. Kami memohon jaminan RM4,000 dikurangkan,” kata Ee Ting.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 November ini.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, pesara guru, Chong Kean Beng, 59, membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Dia didakwa atas pertuduhan sama dan melibatkan mangsa yang sama, namun masa dan tarikh berbeza. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 5.30 petang, 6 Disember 2023.

Peguam, K.Mahendran merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya seorang pesara guru dengan pencen RM4,000 sebulan.

”Anak guam saya perlu menanggung seorang isteri dan dia diberikan jaminan polis pada Disember 2023,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dan keluarganya dilarang mengganggu saksi serta mangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI