fbpx
Antara para peserta yang akan menghangatkan saingan Dewi Remaja 2025. – SADDAM YUSOFF

‘Dewi Remaja berevolusi, cabaran musim ini unik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PROGRAM realiti ikonik Dewi Remaja kembali untuk musim 2025 dengan pembaharuan segar, sekali gus kekal relevan mengekalkan statusnya sebagai platform mencungkil bakat wanita muda tanah air walaupun sudah menjangkau 40 tahun penganjuran.

Menampilkan perjalanan 12 finalis muda berbakat, Dewi Remaja 2025 sekali lagi menjadi pentas untuk memperlihatkan kemampuan, keperibadian serta daya tahan mereka sebelum dinobatkan sebagai ikon wanita muda seterusnya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria iaitu Idlan Zahari, relevansi Dewi Remaja sentiasa dipelihara dengan pendekatan yang seiring perkembangan semasa.

“Saya rasa kita tahu sejarah Remaja dan juga Dewi Remaja. 40 tahun, ramai ikon, bintang dan dewi telah mewarnai industri kita dan saya rasa. Suka atau tidak, Dewi Remaja akan terus kekal.

“Rancangan ini akan sentiasa berevolusi. Saya rasa dalam program ini pun kita lihat, dulu hanya sebuah rancangan majalah dan sekarang program TV.

“Musim kali ini kita juga paparkan kandungan khas digital yang akan memudahkan lagi lebih ramai penonton di luar sana. Yang mungkin tak ada Astro ataupun tak ada TV untuk tengok juga perjalanan mereka, perjalanan dewi-dewi kita dalam mengharungi cabaran-cabaran,” katanya.

Katanya lagi, Dewi Remaja kali ini tampil lebih segar dengan kombinasi cabaran baharu dan cabaran kegemaran daripada musim-musim terdahulu.

“Saya rasa tentang relevansi, cabaran-cabaran yang kami tampilkan musim ini, saya rasa agak unik.

“Kami membawa kembali beberapa cabaran kegemaran dari musim-musim lepas, tetapi kami ada perkenalkan beberapa yang lebih baru yang akan jadi, agak mencabar untuk anda semua.

“Jadi, semoga mereka semua menyahut cabaran, belajar banyak dan berkembang menjadi ikon yang kita semua harap mereka boleh jadi,” tuturnya.

Menariknya, musim kali ini menampilkan pelakon Shaza Bae sebagai Dewi Sister.

Shaza diberi tanggungjawab sebagai pengacara dan mentor peserta Dewi Remaja 2025.

Selain menjadi pengacara tetap, dia turut bertindak sebagai mentor yang memberi sokongan moral kepada para peserta.

“Peranan Dewi Sister selain daripada hos, saya juga ditugaskan untuk memberi sokongan kepada dewi-dewi kerana saya pernah berada di sisi ataupun di tempat mereka.

“Saya pernah duduk di sini. Saya tahu apa yang mereka alami, saya tahu tekanan yang mereka alami, saya tahu perjuangan yang mereka alami dan saya tahu tekanan yang mereka alami. Dan sebelum ini pun saya dah buat Hero Remaja, jadi saya di sini untuk menyokong mereka.

“Kesemua 12 gadis jelita ini, mereka sangat berbakat dan mereka sangat bersemangat untuk berada di sini dan mereka mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk mewarnai industri. Jadi, saya harap kita dapat mengalu-alukan mereka dengan baik,” katanya

Antara 12 dewi yang bakal memeriahkan industri seperti Dheper, Nylea, Marisa, Elisa Chew dan Teya.

Tidak ketinggalan ialah, Suhaila, Ariana, Ellysa Ramlee, Sharmaine, Nelsa Kay dan Fittri turut melangkah dengan penuh keyakinan, siap sedia mengorak langkah menuju takhta Dewi Remaja 2025.

Menambah kehangatan musim ini, dua figura tersohor Nabila Huda dan Kamal Adli akan berganding bahu sebagai juri tetap dan menjadi penentu siapakah yang layak menyandang gelaran dewi sejati.

Program utama Dewi Remaja 2025 akan mula bersiaran pada 10 Oktober pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104) serta strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI