SEBERANG PERAI – Identiti seorang daripada dua mangsa rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Sungai Dua di sini, semalam dikenal pasti sebagai Mohd. Fitri Ahmad, 35.
Perkara itu dimaklumkan ayah mangsa, Ahmad Lin @ Mustafa, 74, ketika hadir ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas pagi tadi.
Menurut warga emas itu, pada mulanya dia tidak mengetahui akan tragedi menimpa anak kelapan daripada 10 beradik itu sehinggalah dimaklumkan oleh anak-anaknya petang semalam.
“Saya sendiri ada melihat video kejadian itu dan saya reda. Tak boleh nak buat apa dah.
“Sebaik sahaja mendapat maklumat itu, kami sekeluarga bergegas ke sini dan dimaklumkan oleh pihak polis bahawa proses pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan esok.
“Terkilan juga, ini kali kedua anak saya meninggal dunia akibat kebakaran. Kakak arwah ketika itu berusia tujuh tahun turut meninggal dunia kerana kelambu terbakar sekitar tahun 70-an,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini, hari ini.
Bagaimanapun, sehingga petang ini identiti seorang lagi mangsa masih belum dapat dikenal pasti pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE