SEBERANG PERAI – Dua pekerja lelaki tersepit selepas van yang mereka naiki dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 165.7, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini pagi tadi.
Mangsa, Mohamad Khairul Azhar Rizzalman, 22, yang merupakan kelindan van Nissan Vanette cedera pada badan dan pinggang selain patah kaki, manakala rakannya, Adli Zaim Anizan, 22, cedera di pinggul dan patah kaki kiri.
Dalam kejadian itu, tiga lagi rakan sekerja mereka iaitu M. Shuria Kumar, 22, yang juga pemandu, Muhammad Izharuddin Hairun Reza, 20 dan Aiman Fitri Azhar 22, cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan dibantu BBP Sungai Bakap.

“Terdapat lima mangsa dengan tiga daripada mereka dikeluarkan oleh orang awam, manakala masih dua lagi tersepit dalam van. Mangsa dibawa dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital berhampiran,” katanya.
Katanya, anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas pada pukul 8.15 pagi.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM,” katanya yang memberitahu operasi tamat pukul 8.45 pagi. – KOSMO! ONLINE