KYIV – Russia menggunakan dron untuk menyerang sebuah ladang ternakan di timur laut Ukraine, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh kira-kira 13,000 babi semalam, lapor portal berita CBS News.
Serangan itu menyasarkan syarikat penternakan di Novovodolazka, Kharviv dengan seorang pekerja dilaporkan cedera.
Imej yang dikongsi menunjukkan bangkai haiwan itu bertimbun di dalam kandang yang sebahagiannya hangus dijilat api.
“Kesemua babi yang ditempatkan di lapan kandang seluas 1.30 hektar itu rentung akibat serangan tersebut,” kata perkhidmatan kecemasan Ukraine.
Serangan dron ke atas kelab ekuestrian di Kyiv turut membunuh sekurang-kurangnya tujuh ekor kuda bulan lalu.
Tentera udara Ukraine berkata, Russia melancarkan 381 dron dan 25 peluru berpandu menyasarkan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan gas di Kharviv serta Poltova.
“Ini adalah keganasan disengajakan terhadap kemudahan awam yang membekalkan pengeluaran dan pemprosesan gas demi kehidupan normal rakyat. Ia tidak mempunyai tujuan ketenteraan.
“Ini adalah kejahatan Russia yang bertujuan mengganggu musim pemanasan dan merampas kehangatan Ukraine semasa musim sejuk,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naftogaz, Serhii Koretskyi. – AGENSI