fbpx
Kotak-kotak berisi kartrij dan peranti vape bernilai RM6.7 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Telaga Bata, Tumpat semalam. FOTO IHSAN PGA

Stor diserbu, sindiket gagal seludup vape RM6.7 juta ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Sindiket gagal untuk menyeludup rokok elektronik atau vape bernilai RM6.7 juta ke Thailand selepas stor yang menjadi tempat penyimpanan barangan tersebut di Kampung Telaga Bata di sini semalam diserbu Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Serbuan terhadap stor yang disyaki menjadi lokasi transit penyimpanan vape itu dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pemeriksaan di dalam premis itu menjumpai ratusan kotak yang berisi 29,960 unit kartrij vape dan 37,800 unit peranti vape dianggarkan bernilai RM6.7 juta.

Menurutnya, kesemua vape itu disyaki tidak mematuhi standard di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik).

“Semakan turut mendapati, alamat tertera di dalam Perakuan Pendaftaran (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) tidak sama dengan alamat stor yang beroperasi.

“Seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor tersebut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ijid Landu memberitahu, siasatan lanjut mendapati, stor tersebut dipercayai menjadi transit kepada kesemua vape itu sebelum diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Perintah 4(1) dan 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI