fbpx
Mohamad (tenga) bersama Sani Arab (kanan) ketika sidang media berkenaan situasi terkini Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di SNCC, Sepang hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

Turkiye, Jordan antara pilihan bawa balik sukarelawan flotilla Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Kerajaan mempunyai pilihan beberapa negara ketiga termasuk Tukiye dan Jordan bagi membantu membawa keluar 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang kini ditahan tentera Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan telah berhubung dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan baik dan menerima jaminan untuk membantu membawa keluar aktivis Malaysia.

“Menteri Luar Jordan Ayman Safadi telah memberikan jaminan yang mana beliau mengarahkan Kementerian Luar dan agensi lain Jordan untuk membantu rakyat Malaysia seperti mana rakyat Jordan yang ditahan.

“Turkiye juga memberi jaminan untuk membantu rakyat Malaysia sebaik mungkin, jadi kita banyak rakan, ini baiknya kita sebagai sebuah negara yang bersahabat dengan banyak negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang hari ini.

Terdahulu, Mohamad meluangkan masa melawat pusat kawalan itu bagi mendapatkan penerangan lanjut daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berhubung status terkini 23 rakyat Malaysia di Israel.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ahli keluarga rakyat Malaysia yang ditahan supaya terus bersabar berikutan usaha membawa balik sedang giat dijalankan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri telah menelefon Presiden Turkiye dan mereka akan membantu membawa balik. Ada juga pihak lain dari Malaysia turut memberikan aku janji untuk sama-sama membantu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kedutaan Besar Malaysia termasuk di Jordan, Tukiye dan Cairo turut bersiap sedia bagi memberi bantuan dalam membawa keluar sukarelawan terlibat.

“Kita bersedia kalau mereka keluar dari Jordan (melalui pintu King Hussein), misi kita memang hari-hari berurusan dengan Kementerian Luar di Jordan dan mengikuti perkembangan terperinci rakyat Malaysia di sana.

“Kita juga bersedia di Turkiye dan Cairo, semuanya dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya memerlukan bentuk sokongan serta bantuan,” jelasnya.

Mohamad berkata, Malaysia mempunyai beberapa pilihan jalan keluar di Jordan jika aktivis dibawa keluar dari sana dengan pintu King Hussein dilihat sebagai paling strategik.

“Jika mereka keluar dari Jordan, kita ada dua tiga pintu, tetapi yang paling senang ialah melalui pintu King Hussein.

“Kalau daripada sana nanti, kita bawa balik mereka dari Amman balik ke Doha dan terus ke Kuala Lumpur atau dari Amman terus ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, urusan membawa balik rakyat Malaysia menerusi Turkiye juga dilihat mudah berikutan negara itu turut mempunyai pesawat untuk membawa aktivis ke Istanbul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI