PETALING JAYA – “Kini, tiba tugas para peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) dan tugas kita, menekan sehingga semua peserta dibebaskan dan genosid dihentikan. Bangkit!”
Itu gesaan aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri, susulan penahanan satu-satunya kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang tinggal bernama Marinette untuk meneruskan pelayaran ke perairan Gaza, hari ini.
Bagaimanapun katanya, mereka telah berjuang dengan sumud sehingga ke saat akhir.
“Bermakna berakhirlah perjalanan seluruh peserta GSF gelombang pertama kita pada kali ini.
“Alhamdulillah, mereka berjuang dengan sumud sehingga ke saat akhir,” katanya di media sosial miliknya, sebentar tadi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, kapal bernama Marinette ditawan tentera Israel, yang sebelum ini menjadi satu-satunya flotila terakhir dalam misi GSF menuju Gaza.
Kapal itu sebelumnya sempat mengangkat isyarat bertulis ‘War Ships Coming’ sebelum dipintas.
Perkembangan terkini itu diperoleh Kosmo! menerusi paparan sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara yang menunjukkan Marinette sedang berlayar melintasi zon kuning sebelum memasuki zon merah kira-kira dua jam. – KOSMO! ONLINE