PETALING JAYA – Sebuah kapal bernama Marinette, yang sebelum ini menjadi satu-satunya flotila terakhir dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza, dilaporkan baru sahaja ditawan tentera Israel.
Perkembangan terkini itu diperoleh Kosmo! menerusi paparan sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara yang menunjukkan Marinette menghampiri kawasan zon tiga iaitu zon merah.
Terdahulu, kapal itu sempat mengangkat isyarat bertulis ‘War Ships Coming’ sebelum dipintas.
Para kru juga kelihatan bersedia memakai jaket keselamatan sebelum mereka difahamkan bergerak ke hadapan bot.
Tidak lama selepas itu, satu bot milik tentera Israel yang lengkap bersenapang tiba berhampiran Marinette dan menawan kapal tersebut sebelum mencabut kamera televisyen litar tertutup.
Situasi tersebut berjaya dirakam sebelum rakaman terhenti serta-merta.
Kapal Marinette merupakan kapal terakhir daripada 44 konvoi yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Difahamkan kapal Marinette sedikit lambat berbanding konvoi yang lain yang memulakan pelayaran dari Itali.- KOSMO! ONLINE